Thursday, 17 September 2015

Buah Durian Merah

Assalamualaikum dan selamat pagi kepada pembaca blog yang sudi singgah di blog yang masih mentah, kelat dan keras ini..
Aku tidak tahu macam mana nak mulakannya. Baiklah!.straight to the Point. Kali ini aku nak cerita pasal durian merah. Hah? Mesti ramai yang tidak tahu.



Durian merah


 Pernah dengar x?pernah makan?. Aku bukan nak sembang kencang ke apa. Rata -ratanya semua orang pernah rasa durian yang biasa seperti musang king dan sebagainya. Tapi bagi pendapat aku durian merah ni terus terang cakap rasanya dia memang 5x ganda lagi sedap daripada durian putih (durian biasa). Sebab rasanya yang berlemak dan memang cair di mulut lagi manis membuatkan diri ingin makan sekali lagi. Pendek kata memang ketagihlah bahasa kasar sikit. 
Cara nak makan tu sama macam durian biasa tu. Cuma ada yang nampak pelik sebab isinya warna merah. Ikut keselesaaan nak makan macam mana. Ada yang mengupas isinya dan di jadikan tempoyak. Ada juga yang mengupas isinya dan makan seperti biasa. Ada lagi yang menumisnya. Cara ini memang perghh!!.memang sedap. Cara nak masak letakkan minyak sedikit, masukkan bawang merah, ikutlah nak banyak atau sikit. Tapi biasanya mak aku akan menumis dengan minyak, bawang sedikit dan garam secukup rasa. Rasanya memang susah nak diungkapkan dengan kata-kata. Sesiapapun boleh memasaknya kerana memang sangat mudah.



Ni admin masa umur masih muda lagi.:}
Time ni nak pungut/kutip hasil durian merah..


Mungkin ada yang tertanya macam mana nak ambik dari pokok. Hello!, ini bukan durian biasa yang kena tunggu jatuh baru boleh kutip. Kalau durian merah tunggu masak kat pokok, sampai ke sudah memang tak jatuh. Durian merah perlu di kait atau bahasa mudahnya kena panjat,jatuhkan buahnya.hah macam tu lah. Kita boleh peram (macam peram buah ciku). Kalau buah ciku pun tak tahu, aku tak tahu nak cakap contoh macam mana lagi. Tengok buah ciku tu, kalau dipokok manalah nak masak. Kena ambik dan peram. Macam tu lah prinsip dan konsep buah durian merah. Di sabah ada beberapa tempat sahaja yang mempunyai buah ini. Salah satunya di merugung hill di Lahad datu. 




Inilah hasil kutipan mengait dan memanjat buah durian merah..
Memang susah nak cari dah buah ni..

taraa....



Cantikkan. Kalau yang belum pernah makan mesti pelik dan macam tipu je.betul la ni.admin yang nampak depan mata..




Nah. Nak cuba tak?boleh order dengan admin..:)
Tapi tunggu lah musim buah yer....

Setakat itu sahaja lah entri kali ini. Nanti mr. H.a akan share lagi pasal nasi kuning pulak yer...

Tuesday, 15 September 2015

TOKOH TOKOH DAN TEORI-TEORI PEMBELAJARAN
1.0 PENDAHULUAN 
1.1 Konsep Teori Pembelajaran
  Teori ialah prinsip kasar yang menjadi dasar pembentukan sesuatu ilmu pengetahuan. Teori juga merupakan satu rumusan daripada pengetahuan sedia ada yang memberi panduan untuk menjalankan penyelidikan dan mendapatkan maklumat baru. Pada asasnya, teori-teori pembelajaran masa kini boleh diklasifikasikan kepada empat mazhab yang utama, iaitu, behavioris , kognitif , sosial dan humanis. 
  Proses pengajaran dan pembelajaran menjadi satu elemen penting dalam perkembangan pendidikan. Perkembangan kemajuan dalam zaman ICT telah membawa jauh alam pendidikan dengan perisian-perisian yang sangat tercanggih. Kaedah – kaedah lama semakin jauh ketinggalan di telan zaman. Walaubagaimanapun  kita masih terikat dengan model-model pengajaran dan  teori-teori yang ada hubungkaitnya dalam psikologi pendidikan. 
  Pembelajaran adalah satu proses perolehan ilmu pengetahuan melalui pengalaman, membuat penerokaan, mendapat latihan sehingga berlaku perubahan tingkah laku dalam diri pelajar. Oleh itu pembelajaran  itu adalah satu proses yang mengubah keadaan, sikap, pengetahuan manusia melalui pengalaman. 
  Pada asasnya konsep pengajaran dan pembelajaran adalah berlandaskan kepada teori-teori pembelajaran masa kini. Teori-teori pembelajaran terdiri daripada kognitif, konstruktivitisme, behaviorisme dan humanistic. Pengalaman ilmu pengetahuan yang diperolhi dalam proses pembelajaran berlaku secara berperingkat-peringkat yang menghasilkan satu  perubahan tingkah laku manusia.

2.0 TEORI-TEORI PEMBELAJARAN
2.1. Teori Behaviorisme
  Pengasas teori pembelajaran behaviorisme  adalah Ivan Pavlov, Edward Thorndike, B.F.Skinner dan Watson. Teori Pelaziman Klasik diasaskan oleh Pavlov dan Watson manakala Teori Pelaziman Operan diasaskan oleh Thorndike dan B.F.Skinner. Teori Behavioris ini dikenali sebagai teori tingkah laku, amat mengutamakan pembelajaran kemahiran-kemahiran tertentu khususnya kemahiran fizikal. Teori Pelaziman Klasik lebih cenderung untuk menilai emosi dan tabiat manusia atau haiwan sebelum dan selepas pelaziman.
   Teori Pelaziman Operan pula lebih cenderung untuk menilai tingkahlaku yang berlaku kesan daripada ransangan dan peneguhan sebelum dan selepas pelaziman. Terdapat dua jenis prinsip pelaziman Operan iaitu peneguhan (positif dan negatif) dan hukuman (positif dan negatif). Contoh peneguhan positif adalah seperti memberi pujian atau gula-gula kepada pelajar. Manakala peneguhan negatif adalah mengecualikan pelajar daripada aktiviti yang mereka tidak sukai. Contoh hukuman positif adalah merotan pelajar manakala hukuman negatif pula iaitu menarik balik kebenaran menonton rancangan yang mereka gemar seperti rancangan kartun pada waktu rehat.
  Teori pelaziman yang merujuk kepada pembelajaran haiwan dan manusia yang terhasil daripada gerak balas automatik terhadap sesuatu ransangan yang mula-mula tidak memberikan sebarang kesan. Teori ini menegaskan bahawa pembelajaran adalah sebagai satu perubahan dalam bentuk atau frekuensi tingkahlaku. Seterusnya pembelajaran memerlukan penyusunan (stimuli) ransangan dalam persekitaran supaya pelajar dapat memberi respons dan diberi pengukuhan. Behaviorisme adalah perhubungan antara ransangan (R) dengan gerak balas (G). Tingkahlaku adalah gerak balas yang nyata dan dapat diramalkan. Untuk pembelajaran yang berkesan, guru mengaitkan pengalaman positif dengan tugasan pembelajaran. Membimbing pelajar gunakan kemahiran generalisasi dan diskriminasi dengan tepat. Selain itu memberi latihan yang cukup untuk mengukuhkan rangsangan terlazim dan gerak balas terlazim.

  2.1.1 Teori Pelaziman Klasik Pavlov                                               
  Ivan P. Pavlov merupakan pelopor konsep pelaziman klasik. Bahan uji kaji beliau adalah seekor anjing. Beliau membunyikan loceng dan memerhatikan gerak balas anjing. Menurutnya, setiap rangsangan akan menimbulkan gerak balas. Gerak balas pula ialah apa-apa sahaja tingkah laku yang timbul kesan dari ransangan. Kata kunci teori beliau ialah pembelajaran melalui perkaitan. Iaitu perkaitan antara ransangan dan gerak balas. Pembelajaran daripada perkaitan dua ransangan dikenali sebagai pelaziman klasik. Beberapa konsep penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran dihasilkan melalui prinsip pelaziman klasik yang dikemukakan oleh Pavlov iaitu Pembelajaran semula, generalisasi, diskriminasi dan penghapusan.

  2.1.2 Teori Pelaziman Operan Thorndike
  Thorndike merupakan tokoh dan ahli psikologi Amerika. Beliau memperkenalkan pembelajaran cuba jaya dan beberapa hukum tentang perkaitan ransangan dengan gerak balas. Beliau telah mengkaji tingkah laku dan gerak balas seekor kucing untuk mendapatkan makanan juga beberapa haiwan lain. Beliau juga berjaya membentuk tiga hukum iaitu Hukum Kesediaan, Hukum Latihan dan Hukum Kesan. Hukum Kesediaan dapat diertikan sebagai  pelajar/seseorang bersedia belajar (ransangan motivasi) maka pembelajaran akan berkesan dan memuaskan . Pelajar belum bersedia atau dipaksa belajar (tanpa ransangan) maka pembelajaran tidak berkesan. Dalam hukum latihan, Pertalian antara ransangan dan gerak balas akan bertambah kukuh jika ada latihan, pengulangan serta aktiviti pengukuhan diberikan. Hukum Kesan merujuk kepada Pertalian antara ransangan dan gerak balas akan bertambah kukuh sekiranya ada kesan pengalaman yang menyeronokkan dan gerak balas ini akan diulang. Sekiranya kesan pengalaman itu menyakitkan, gerak balas tersebut akan lenyap dan pertalian antara ransangan dan gerak balas akan lemah.

2.2 Teori Kognitif
  Menurut sesetengah ahli psikologi seperti Piaget, Kohler, Bruner, Gagne dan Ausubel menekankan proses kognitif yang sebenarnya menghasilkan perubahan tingkah laku dalam pembelajaran. Mereka berpendapat bahawa pembelajaran ialah suatu proses kognitif untuk perhubungan perkara-perkara dalam persekitarannya. Ahli-ahli kognitif mengaitkan aktiviti-aktiviti pembelajaran dengan proses-proses mental dalaman ,iaitu fikiran, ingatan, pengetahuan dan penyelesaian masalah yang berlaku dalam pembentukan skema manusia. Ahli-ahli kognitivis berpendapat bahawa pembelajaran ialah suatu proses dalaman. Proses dalaman yang dirujuk termasuk pemikiran, celik akal, pemprosesan maklumat, ingatan dan pengamatan.

  2.2.1 Teori Pemprosesan Maklumat Gagne
  Rahil Mahyuddin et al (2000) menyatakan bahawa Robert M Gagne (1916-2002) adalah seorang ahli psikologi yang dianggap sebagai bapa psikologi pendidikan dan telah menjalankan penyelidikan luas dalam bidang pengajaran dan pembelajaran. Beliau telah mencari cara yang paling sempurna dan unggul untuk melakukan suatu pembelajaran yang standard. Sumbangan beliau adalah dalam aspek-aspek seperti taksonomi pembelajaran dan juga sembilan syarat dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
  Gagne telah mengkaji cara seseorang menerima dan memproses maklumat yang diterima melalui deria. Beliau menyamakan proses ini dengan proses pemprosesan maklumat oleh sebuah komputer iaitu input rangsangan diproses oleh memori sensori dan ingatan jangka pendek. Maklumat yang dihasilkan digunakan untuk bertindak dengan persekitaran atau disimpan dalam memori jangka panjang.
  Di samping itu, Taksonomi Gagne merupakan antara sumbangan terpenting beliau. Taksonomi Gagne boleh dibahagikan kepada lima kategori seperti kemahiran verbal, kemahiran intelektual, strategi kognitif, sikap positif dan kemahiran motor. Kemahiran verbal terdiri daripada kemahiran-kemahiran penghafalan dari memori,membuat respon verbal kepada input,kebolehan melabel dan menamakan fakta secara verbal atau bertulis dan kebolehan untuk mengingat semula maklumat-maklumat yang berkaitan. Seterusnya, kemahiran intelektual terdiri daripada kemahiran berdiskriminasi ,mengkategorikan mengikut ciri-ciri fizikal atau abstarak, pengaplikasikan prosedur-prosedur mudah dan yang kompleks untuk menyelesaikan sesuatu tugasan atau masalah.
  Ia mengandungi beberapa aras seperti aras diskriminasi ,konsep konkrit ,penggunaan peralihan dan penyelesaian masalah. Kategori ketiga iaitu strategi kognitif pula merujuk kepada kebolehan individu-individu untuk mereka cipta dengan proses mental untuk mencapai sesuatu tugasan dan menyelesaikan masalah. Ia melibatkan kebolehan individu untuk membuat pilihan ,keputusan dan model mental.
  Kategori seterusnya pula sikap positif iaitu ia merujuk kepada individu-individu yang berkelakuan untuk menggambarkan nilai-nilai murni yang baru dikuasai. Individu berkebolehan untuk memberi sesuatu pendapat dengan logikal dan rasional. Kemahiran motor adalah kategori terakhir yang terdapat dalam Taksonomi Gagne.
  Selain daripada Taksonomi Gagne,beliau juga telah menyenaraikan sembilan situasi pengajaran dan proses kognitif untuk setiap syarat yang ditetapkan oleh beliau. Situasi-situasi ini perlu dititikberatkan oleh guru-guru supaya pengajaran dilaksanakan dengan berkesan dan pembelajaran akan berlaku dengan kukuh dan sempurna. Menurut Gagne, sebagai seorang guru,ia perlu menarik perhatian murid. Bagi mendapatkan tumpuan murid ke atas pengajarannya,guru boleh memulakan pengajaran dengan set induksi yang menarik. 
  Selain itu,guru juga perlu memberitahu murid-murid mengenai objektif pelajaran supaya murid dapat tahu apa yang akan dipelajarinya pada hari itu. Seterusnya,guru juga perlu mengingatkan murid-murid  mengenai pelajaran lampau untuk merangsang pengetahuan sedia ada pada mereka. Guru boleh  menyoal murid-murid mengenai satu tajuk spesifik yang akan diajari. Ini adalah untuk membolehkan murid itu berfokus kepada tajuk tersebut.
  Sebagai seorang guru,ia perlu menggalakkan murid membuat latihan kendiri bagi mendapatkan gerak balas daripada mereka. Selepas mereka membuat latihan kendiri,guru perlu memberi maklum balas dan membetulkan sekiranya wujud konsep yang salah. Selain itu, guru juga boleh menilai tahap pencapaian murid dengan memberi latihan tambahan dan pemulihan. Ini juga merupakan satu kaedah penilaian dan pentafsiran yang boleh dilakukan untuk meninjau tahap pemahaman mereka. Akhir sekali,guru perlu membuat generalisasi dengan membuat pemindahan pembelajaran  dimana guru boleh mengajukan soalan-soalan lain dan meminta murid mengenal pasti jawapannya.

  2.2.2 Teori Pembentukan Konsep Bruner
  Menurut Kamarudin Hj. Husin. (2001) menyatakan bahawa Jerome Bruner telah dilahirkan di New York pada 1 Oktober 1915. Insan yang lebih dikenali sebagai J.Bruner ini merupakan bapa kepada teori psikologi kognitif. Anak kepada Herman dan Rose (Glickmann) Bruner, telah dilahirkan buta dan tidak dapat melihat setelah dijangkiti katarak sewaktu beliau masih bayi. Bruner bersekolah di sekolah umum, lulus dari sekolah tinggi pada tahun 1933, dan masuk Duke University di mana ia mengambil jurusan psikologi, mendapat gelaran AB pada tahun 1937.
  Fokus utama teori Bruner adalah model penemuan inkuiri dalam pembelajaran yang mementingkan konsep kategorisasi. Bruner lebih menegaskan faktor-faktor persekitaran dan pengalaman model penemuan inkuirinya. Pembelajaran penemuan Bruner adalah lebih berdasarkan prinsip konstruktivisme iaitu,seorang murid akan membina maklumat dan konsep baru berdasarkan perkaitan di antara maklumat-maklumat yang sedia ada. Murid-murid akan mengolah maklumat melalui struktur kognitif yang sedia ada seperti skema dan model mental untuk menambah kesedaran baru dalam ingatan.
  Menurut model ini,murid-murid digalakkan belajar melalui perbuatan aktiviti dan pengalam sendiri. Dalam keadaan ini,peranan guru adalah untuk mencungkil fikiran mereka serta memberangsangkan naluri ingin tahu murid-murid dengan soalan-soalan yang mencabar. Guru-guru juga bertanggungjawab untuk memastikan aktivit-aktiviti pengajaran bersesuaian dan murid-murid tidak gagal dalam aktiviti penemuan mereka.
  Menurut Bruner, ada tiga peringkat perkembangan kanak-kanak iaitu Peringkat pertama adalah peringkat enaktif atau tidak aktif. Kanak-kanak yang berumur dari 0-2 tahun tergolong dalam peringkat ini. Pada peringkat ini,kanak-kanak belajar melalui tindakan manipulatif kerana mereka belum menguasai bahasa untuk bertutur. Mereka juga menggunakan anggota deria untuk menyelesaikan masalah. Beberapa aktiviti dilakukan berdasarkan pergerakan anggota kanak-kanak. Maka,guru-guru perlu sediakan bahan maujud untuk mengimbangkan minda murid-murid dalam peringkat ini.   
  Menurut Bruner,peringkat ikonik adalah peringkat penaakulan kedua. Kanak-kanak yang berumur 2-4 tahun dapat membayangkan satu situasi dalam minda mereka pada peringkat ini. Mereka juga menyimpan maklumat dan pengalaman dalam kerangka kognitif secara lebih tersusun. Guru-guru perlu merancang pelajaran dengan menggunakan pelbagai jenis bahan bantu mengajar.
  Peringkat terakhir adalah peringkat simbolik. Pada peringkat ini,kanak-kanak boleh menggunakan simbol seperti bahasa,perkataan, nombor dan simbol matematik. Mereka juga dapat memindah pengalaman pembelajaran ke situasi serupa dengan membuat penaakulan logik. Pada tahap ini, kanak-kanak dapat menyoal mengenai satu fenomena dan dapat memberi pendapat mengenai sesuatu masalah atau situasi. Mereka juga menggunakan langkah-langkah penyelesaian masalah.. Menurut Bruner,dalam mana-mana tempoh masa yang tertentu ,satu jenis penaakulan akan lebih dominan daripada yang lain. Ini bererti kanak-kanak berkebolehan untuk berfikir pada tahap yang lebih mantap melalui pendedahan kepada idea kognitif yang mencabar.
  Sementara itu,prinsip rangkaian yang juga dikenali sebagai prinsip sekuen merupakan suatu prinsip turutan. Mengikut Bruner, prinsip ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu prinsip sekuen yang pertama (prinsip kesediaan). Di mana pada peringkat ini guru perlu menggunakan set induksi untuk menimbulkan motivasi yang berterusan kepada murid agar aktiviti pembelajaran akan menjadi lebih mudah dan berkesan. Prinsip seterusnya adalah prinsip sekuen yang kedua. Prinsip ini adalah penggunaan dan perlaksanaan kaedah dan teknik mengajar. Kaedah dan teknik mengajar perlulah seimbang dengan perkembangan kognitif murid pada waktu itu. Secara kesimpulanya,boleh dikatakan bahawa teori Bruner telah mempengaruhi pengajaran dengan impak yang paling ketara.

2.3 Teori Pembelajaran Sosial
  Menurut Atan Long (1986) dalam bukunya Psikologi Pendidikan menyatakan bahawa mazhab sosial menyarankan bahawa pembelajaran berlaku dalam konteks sosial iaitu manusia belajar daripada orang lain yang berada dalam lingkungan persekitaran mereka. Ia menggabungkan teori mazhab behaviorisme dengan mazhab kognitif kerana ia melibatkan pemerhatian dan permodelan. Justeru itu,teori ini juga dikenali sebagai teori permodelan dan teori kognitif sosial. Teori kognitif sosial menegaskan bahawa latar belakang kebudayaan seseorang individu merupakan faktor utama dalam pembentukan tingkahlakunya.Kebudayaan adalah hasil ciptaan manusia yang bersosial dan kanak-kanak dibesarkan dalam nilai budaya masing-masing. Justeru itu,kanak-kanak amat dipengaruhi oleh budaya persekitaran yang merangkumi keluarga,sekolah dan rakan sebaya.

  2.3.1 Teori Permodelan Bandura
  Albert Bandura dilahirkan di Mundare Northern Alberta Kanada, pada 04 Disember 1925. Masa kecil dan remajanya dihabiskan di desa kecil dan juga mendapat pendidikan disana. Pada tahun 1949 beliau mendapat pendidikan di Universiti British Columbia, dalam jurusan psikologi. Dia memperoleh gelar ‘Master’ di dalam bidang psikologi pada tahun 1951 dan setahun kemudian ia juga meraih gelaran doctor (Ph.D). Albert Bandura sangat terkenal dengan teori pembelajaran social, salah satu konsep dalam aliran behaviorime yang menekankan pada komponen kognitif dari pemikiran, pemahaman, dan evaluasi. 
  Menurut beliau manusia secara semula jadinya belajar melalui proses peniruan atau pemerhatian, iaitu dengan cara melihat orang bertingkah laku dalam kehidupan seharian seperti berjalan, makan, minum, mendapat penghargaan, pujian atau menerima hukuman. Pada asalnya ia lebih merupakan kepada teori pembelajaran sosial tetapi telah berkembang kepada teori pembelajatan sosial kognitif.  
  Faktor- faktor yang mempengaruhi perhatian ialah ciri- ciri model termasuk nilai, umur, jantina, status dan perhubungan dengan pemerhatian. Dalam pengajaran guru perlu memastikan murid menumpukan perhatian kepada ciri- ciri penting pelajaran dengan pengajaran yang jelas dan menekankan isi- isi penting. Dalam suatu tunjuk cara contohnya memasukkan benang ke lubang jarum mesin jahit kita mungkin memerlukan murid- murid duduk berhampiran dengan kita supaya mereka nampak bagaimana cara melakukannya dengan betul. 
  Perhatian mereka akan ditumpukan kepada ciri- ciri yang betul dalam situasi tersebut dan dengan itu menjadikan pembelajaran pemerhatian yang betul. Seterusnya,kebolehan untuk menyimpan apa yang diperhatikan dalam memori adalah keupayaan mengingati.Seseorang boleh menyimpan maklumat yang telah diperhatikan dalam pelbagai cara,seperti dalam bentuk koding,grafik mental,penyusunan kognitif ,simbolik dan sebagainya. Sementara itu,reproduksi merujuk kepada kebolehan si pemerhati untuk menghasikan semula  imej dan maklumat yang telah diperhatikan. 
  Di peringkat penghasilan latihan menjadikan tingkah laku lebih lancar dan mahir. Dengan itu, seseorang itu mungkin telah memperoleh satu kemahiran atau tingkah laku baru melalui pemerhatian, tetapi ia mungkin tidak dapat melakukan tingkah laku itu sehingga ada sesuatu bentuk motivasi atau insentif untuk melakukannya. Peneguhan boleh memainkan beberapa peranan dalam pembelajaran pemerhatian. Seandainya individu itu mengharapkan untuk mendapat peneguhan dengan meniru tindakan seseorang model, ia mungkin menjadi lebih bermotivasi untuk menumpukan perhatian, mengingat dan menghasilkan semula tingkah laku.
  Menurut Bandura, terdapat lima jenis peniruan seperti peniruan secara langsung,peniruan secara tidak langsung,peniruan gabungan,peniruan sekat laluan dan yang tak sekat laluan. Pertama, pemerhati mungkin menghasilkan semula tingkah laku model dan menerima peniruan secara langsung. Kedua pemerhati mungkin melihat orang lain menerima peniruan secara tidak langsung dan mengikut tingkah laku orang yang diperhatikan. Ketiga ialah peniruan melalui proses gabungan. Dalam proses ini seseorang akan meniru apa yang dilakukan oleh orang lain jika dia sudah mengetahui cara- cara melakukan tingkah laku tersebut. Keempat peniruan sekat lakuan. Peniruan yang sesuai dilakukan dalam keadaan tertentu tetapi tidak digunakan dalam keadaan atau situasi yang lain. Kelima iaitu peniruan tak sekat lakuan. Dalam proses ini seseorang individu akan terus mengamalkan peniruan dalam apa- apa jua situasi. 

  2.3.2 Teori Proksimiti Vygotsky
  Lev S. Vygotsky ialah pengkritik terawal kepada andaian-andaian yang diketengahkan oleh Piaget. Vygotsky memberi pandangan tentang perkembangan kognitif kanak-kanak yang cukup berlainan dengan pendapat Jean Piaget. Vygotsky menyatakan bahawa perkembangan kanak-kanak tidak mengikut tahap-tahap perkembangan. Sebaliknya, Vygotsky menegaskan bahawa setiap fungsi dalam perkembangan budaya kanak-kanak muncul dalam dua aras iaitu pada aras sosial dan pada aras individu. 
  Sumbangan beliau yang terkemuka ialah teori proksimiti yang menyokong perkembangan pembelajaran kanak-kanak. Kini,teori perkembangan proksimal beliau menjadi asas untuk perkembangan teori konstruktivisme. Pendekatan sosio-budaya,zon perkembangan proksimal,bantuan perancah(scaffolding) dan perkembangan bahasa. Dalam pendekatan sosio-budaya,Vygotsky telah memerhati dan mengkaji peranan budaya dan komunikasi interpersonal kepada perkembangan kognitif kanak-kanak. Beliau berpendapat bahawa perkembangan pembelajaran berlaku dalam konteks sosial,iaitu melalui persekitaran dunia kanak-kanak yang dikelilingi dengan orang dewasa yang berinteraksi dengan mereka sejak dilahirkan. Vygotsky menekankan bagaimana proses-proses perkembangan mental seperti ingatan, perhatian, dan penalaran melibatkan pembelajaran menggunakan temuan-temuan masyarakat seperti bahasa, sistem matematik, dan alat-alat ingatan.
  Vygotsky lebih banyak menekankan peranan orang dewasa dan anak-anak lain dalam memudahkan perkembangan si anak. Menurut Vygotsky, anak-anak lahir dengan fungsi mental yang relatif dasar seperti kemampuan untuk memahami dunia luar dan memusatkan perhatian. Namun, anak-anak tak banyak memiliki fungsi mental yang lebih tinggi seperti ingatan, berfikir dan menyelesaikan masalah. Fungsi-fungsi mental yang lebih tinggi ini dianggap sebagai ”alat kebudayaan” tempat individu hidup dan  alat-alat itu berasal dari budaya. Alat-alat itu diwariskan pada anak-anak oleh anggota-anggota kebudayaan yang lebih tua  selama pengalaman pembelajaran yang dipandu. 
  Menurut Chong Lean Keow PhD (2009) mengatakan bahawa Vygotsky memberikan idea tentang keterampilan-keterampilan dalam keberfungsian mental berkembang melalui interaksi sosial langsung. Informasi tentang alat-alat, keterampilan-keterampilan dan hubungan-hubungan interpersonal kognitif dipancarkan melalui interaksi langsung dengan manusia. Melalui pengorganisasian pengalaman-pengalaman interaksi sosial yang berada di dalam suatu latar belakang kebudayaan ini, perkembangan mental anak-anak menjadi lebih matang. Anak-anak tidak akan pernah mengembangkan pemikiran operasional formal tanpa bantuan orang lain. Menurut teori Vygotsky, Zone of Proximal Developmnet(ZPD) merupakan celah antara ‘actual development’ dan ‘potential development’, dimana antara apakah seorang anak dapat melakukan sesuatu tanpa bantuan orang dewasa dan apakah seorang anak dapat melakukan sesuatu dengan arahan orang dewasa atau kerjasama dengan teman sebaya. 
  Menurut Vygotsky , guru dapat merangsang zon ini dengan memberikan peluang yang banyak kepada murid bergerak balas yang mencakupi kemahiran dan kebolehan yang boleh dilakukan oleh murid secara bersendirian serta lain-lain kemahiran yang memerlukan bantuan guru. ‘Scaffolding’  dapat membantu murid bergerak melalui zon perkembangan proksimal (Zon of Proximal Development)  dengan membolehkan pelajar menyelesaikan sesuatu tugasan tanpa bantuan orang lain. Jadi, melaluinya tindak balas dan keperluan pelajar akan dapat dipenuhi dengan cara mengubahsuaikannya kepada tahap pencapaian yang boleh dicapai oleh pelajar.
  Menurut beliau, proses penguasaan bahasa berkembang dengan kebolehan berkomunikasi dan berinteraksi secara sosial dengan orang lain. Bahasa dan pemikiran berkembang secara tersendiri dan meningkat dalam tahap kesukaran. Mereka juga belajar menggunakannya sebagai alat komunikasi untuk menyelesaikan masalah seperti meminta  untuk susu apabila mereka lapar. Dengan itu,terdapat beberapa implikasi utama teori Vygotsky dalam bilik darjah. Dari segi pengajaran dan pembelajaran, seseorang guru yang mengamalkan prinsip-prinsip teori Vygotsky akan mendapati proses pembelajaran yang sangat aktif. Guru akan menggunakan teknik scaffolding dengan membimbing dan memberi tindak balas tentang pembelajaran isi kandungan baru. 
  Vygotsky mengutarakan cadangan supaya perkembangan kanak-kanak didasarkan kepada keupayaan mereka menggunakan perantaraan bahasa, sistem nombor dan peta bagi perkembangan kognitif. Keupayaan mereka pula bergantung kepada pendedahan mereka kepada pembantu dan persekitaran orang dewasa yang kebiasaannya terdiri daripada guru-guru dan pengasuh. Ini sangat bermakna terhadap perkembangan kreativiti, kognitif, sosial dan kemahiran mengawal perasaan. Vygotsky percaya bahwa anak akan jauh lebih berkembang jika berinteraksi dengan orang lain. Vygotsky membezakan antara perkembangan sebenar dan perkembangan potensi pada anak. Perkembangan sebenar ditentukan apakah seorang anak dapat melakukan sesuatu tanpa bantuan orang dewasa atau guru. Sedangkan perkembangan potensi membezakan apakah seorang anak dapat melakukan sesuatu, menyelesaikankan masalah dengan bantuan orang dewasa atau kerjasama dengan teman sebaya.

2.4 Teori Pembelajaran Humanistik
  Noriati A. Rashid et al (2009) dalam buku mereka menyatakan bahawa mengikut pandangan ahli psikologi humanis, fitrah manusia pada dasarnya adalah mulia dan baik. Setiap individu ingin belajar dan menimba ilmu. Setiap individu akan berkembang secara semulajadi sekiranya persekitaran mereka adalah sesuai. Selain itu, pendekatan humanis terhadap pendidikan menekankan keunikan setiap individu dengan meningkatkan motivasi instrinsik dan kendiri masing-masing dengan menyatakan pandangan, pengalaman dan pendekatan terhadap pembelajaran setiap individu adalah berbeza. Secara keseluruhannya, pendekatan humanis memperkatakan mengenai pendekatan berpusatkan pelajar secara holistik. Para ahli humanistik melihat adanya dua bahagian pada proses belajar, iaitu proses pemerolehan informasi baru dan personaliti informasi ini pada individu. 

  2.4.1 Carl Rogers
  Asmah bt. Hj. Ahmad. ( 1989 ) turut memperincikan dalam buku pedagogi yang menyatakan Carl Rogers telah dilahirkan pada 8hb Januari  di Oak Park, lllinois, 1902 dan telah meninggal pada tahun 1987.Beliau dilahirkan dalam keluarga yang kuat berdisplin, penuh keagamaan dan bermoral tinggi. Rogers mula belajar di Universiti of Winconsin dalam bidang pertanian tetapi dua tahun kemudian bertukar kepada bidang keagamaan di Union Theological seminary di New York. 
  Terdapat beberapa usul penting dalam teori humanistik. Salah satu daripadanya ialah persepsi individu mengenai diri kendiri. Mengikut Carl adalah selaras dengan konsep kendirinya. Jika seseorang individu memiliki konsep kendiri yang tinggi,dia akan merasa berkeyakinan tinggi dan bersemangat untuk melakukan segala tugas yang diagihkan kepadanya. Usul seterusnya pula membantu individu untuk mengatasi halangan-halangan. Guru-guru yang menunjukkan empati dan sentiasa bersikap positif akan mendorong mendidik murid-murid secara lebih mendalam. Menurutnya lagi, seseorang guru kaunselor yang baik dapat membantu menghilangkan penghalang-penghalang yang terpendam dalam diri seseorang agar potensinya boleh berkembang dengan optimanya.Usul yang ketiga adalah kecenderungan untuk Berjaya.Setiap manusia mempunyai kecenderungan untuk mencapai kesempurnaan kendiri dan akan bersaing untuk mencapai kejayaan. Penguasaan ilmu dan pemerolehan pengalaman berlaku secara semulajadi sehingga manusia mencapai kesempurnaan kendiri. Kefahaman melalui refleksi juga merupakan antara usul penting dalam teori humanistik.
  Mengikut Carl Rogers,manusia sentiasa menggunakan maklumat dan pengalaman yang ada pada diri sendiri untuk memperbaiki kelakuan diri.Refleksi dan pengimbasan semula pengalaman yang dilalui membawa kesedaran lebih kepada tingkah laku seseorang. Interaksi manusia dengan persekitaran dan pergaulan sosial memperkayakan input pengalaman seseorang. Menurut Carl Rogers, setiap individu mempunyai keinginan semulajadi untuk belajar. Oleh itu Carl Rogers percaya bahawa setiap individu mempunyai kecenderungan dan hasrat untuk mencapai kesempurnaan dirinya.
  Guru perlu peka terhadap aspek perkembangan diri setiap murid dengan memastikan keperluan asas wujud dalam persekitaran bilik darjah khususnya. Hal ini bersesuaian dengan pendapat yang dinyatakan oleh Rogers bahawa pembelajaran yang bersifat signifikan hanya akan berlaku kandungan matapelajaran adalah relevan dengan minat murid-murid. Guru perlu memberi ruang kepada murid-murid untuk mengembangkan potensi mereka ke tahap yang maksimum.
  Menurut Rogers juga, murid-murid lebih mudah menerima pembelajaran apabila ancaman luaran berada pada tahap minimum. Disamping itu, dalam pendekatan humanistik Carl Rogers juga guru boleh mengaplikasikan cara pembelajaran dan pengajaran dengan merancang pelbagai jenis aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang sesuai kepada murid-murid. Rogers menyatakan seorang guru perlu menjelaskan objektif pembelajaran dan membekalkan sumber pembelajaran yang sesuai. Guru boleh memanfaatkan cara ini ketika melaksanakan pengajaran di dalam kelas. Murid perlu tahu apa yang mereka perlu capai dalam sesuatu pembelajaran yang dilaksanakan oleh guru agar mereka mudah untuk mengikuti pembelajaran dalam bilik darjah tersebut.
  Pada hakikatnya, guru perlu bijak untuk menghidupkan suasana pembelajaran dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran. Guru juga perlu membuat refleksi diri tentang kelemahan semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan. Pembelajaran yang menyeronokkan di dalam bilik darjah akan menimbulkan minat dan motivasi dalam diri murid untuk belajar. 
  2.4.2 Abraham Maslow
  Menurut Chong Lean Keow PhD (2009) mengatakan bahawa Abraham Maslow dilahirkan di Brooklyn, New York dalam tahun 1908. Bapanya bernama Samuel Maslow dan ibunya bernama Rose.Abraham Maslow mendapat ijazah pertama dan PhD dari Universiti Wisconsin dalam tahun 1934. Selepas mendapat ijazah doktor falsafah, beliau bekerja di Brooklyn College (1937 - 1951). Beliau pernah dilantik sebagi Pengerusi Jabatan Psikologi selama 10 tahun di universiti yang sama. Maslow berkahwin pada tahun 1928 dengan Bertha, dan beliau telah meninggal dunia di usia 62 tahun akibat penyakit serangan jantung.
  Menurut Chong Lean Keow PhD (2009) menafsirkan bahawa pendapat Maslow ialah apabila individu mendapat kepuasan dalam sesuatu hierarki, keperluan akan muncul secara semulajadi untuk mencapai hierarki-hierarki yang lebih tinggi berlaku secara semula jadi. Maslow mengatakan bahawa manusia sentiasa bermotivasi untuk mencapai kejayaan dalam hidup. Mereka akan berusaha sesungguhnya untuk mencapai kesempurnaan kendiri,iaitu merealisasikan potensi diri manusia seutuhnya.Mereka akan mencapai tahap ini apabila telah meraih kepuasan dari tahap-tahap yang lebih dasar. 
  Maslow telah menghuraikan ciri-ciri perkembangan mengenai motif manusia untuk mencapai kepuasan dalam hidup.Kuasa dalaman mendorong untuk mengejar kecemerlangan serta gaya hidup yang sihat dan sempurna. Maslow melihat individu sebagai sesuatu yang berintergrasi dan penyusuan keseluruhan. Contohnya, seorang insan yang lapar, ianya bukan sebahagian daripada diri individu tersebut, sebaliknya keseluruhan diri individu menunjukkan rasa lapar. Maslow menganggap motivasi sebagai sesuatu yang kompleks, dimana tingkah laku luaran yang diperlihatkan oleh manusia. Personaliti yang dibincangkan oleh Maslow lebih kepada keperluan individu. Maslow sering mengaitkan perkembangan personaliti dengan motivasi. Motivasi lahir dari keperluan yang diperolehi oleh setiap individu.
  Menurut Maslow dalam Teori Hierarki Keperluannya, meluaskan kendiri adalah berkaitan dengan kecenderungan seseorang untuk menghubungkaitkan diri dengan keperluan dunia. Penyempurnaan kendiri pula adalah tentang tatacara seseorang bermoral dan beretika. Sementara itu,mengikut Maslow,pada tahap penghargaan kendiri pula ia harus mempunyai keyakinan diri, usaha kearah meraih kejayaan dan pencapaian serta dihormati oleh orang lain. 
  Selain itu,cinta dan sayang,kawan-kawan dan mempunyai keluarga yang bahagia adalah antara keperluan yang terdapat di tahap keperluan kasih sayang. Dengan itu,keperluan fisiologi dan keperluan keselamatan dan perlindungan adalah juga tersenarai dalam hierarki keperluan Maslow. Kedua-dua keperluan ini merujuk kepada makanan,tempat tinggal,minuman serta udara segar yang harus diperlukan oleh seseorang.
  
3.O PENUTUP   
   Kesimpulannya, guru haruslah memainkan peranan penting dan memastikan mereka memilih kaedah-kaedah dan pendekatan yang paling sesuai bagi memastikan murid-murid dapat belajar dan menerima pelajaran yang disampaikan dengan berjaya dan berkesan.Dengan menyedari keperluan seseorang pelajar guru dapat mengatur strategi serta alternatif yang lebih praktikal demi kecemerlangan yang semaksimumnya. Jelaslah bahawa keperluan itu mempunyai matlamat yang mesti dicapai bagi memenuhkan keperluan tersebut.
   Matlamat ini mempunyai nilai yang tertentu kepada seseorang mahupun seorang pelajar yang memerlukannya. Teori-teori ini tegas memberi konsep bahawa perkembangan individu atau pelajar ini perlu melalui beberapa tingkat kepuasan atau dengan kata lain proses perkembangan individu itu merupakan satu usaha yang berterusan dalam persekitaran sosial sehingga mencapai kecemerlangan. Oleh itu bagi meninggikan atau mempertingkatkan lagi proses pengajaran juga pembelajaran di dalam kelas, guru seharusnya peka dan bijak menentukan apa keperluan seseorang pelajar.  
   Guru perlu memastikan setiap mata pelajaran yang diajar menarik minat muridnya. Guru mesti menentukan proses  pengajaran dan pembelajaran itu sentiasa aktif, bersifat menyelidik, menyeronokkan dan bermanfaat. Aktiviti  pembelajaran perlu menggalakkan interaksi sosial dan interaksi dalam kumpulan. Penyampaian  pengajaran yang tidak menarik boleh menyebabkan murid-murid merasa bosan. Guru menggalakkan murid-murid menggunakan pelbagai bahan rujukan.Guru tidak boleh mengharapkan kepada buku teks sahaja.Guru perlu menggunakan pelbagai bahan  yang mempunyai unsur-unsur kreatif seperti bahan dari internet, komik, CD-ROM , bahan-bahan daripada akhbar dan bahan-bahan bacaan lain. Murid mesti digalakkan untuk menghasilkan ciptaan berdasarkan idea-idea dan minat sendiri.
   
4.0 RUJUKAN
Atan Long (1986). Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Asmah bt. Hj. Ahmad. ( 1989 ). Pedagogi I, Siri Pendidikan Longman, Selangor, Longman Malaysia Snd. Bhd.
Chong Lean Keow PhD(2009). Murid dan Alam Belajar untuk Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman.
Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009). Murid Dan Alam Belajar, Siri Pendidikan Guru. Kuala Lumpur: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Kamarudin Hj. Husin. (2001). Pedagogi Bahasa (Perkaedahan). Subang Jaya: Kumpulan. Budiman Sdn. Bhd.
Rahil Mahyuddin, Jami’ah Mohamad, Kasnani Ab. Karim. (2000). Psikologi Pendidikan II. Kuala Lumpur: Addison Wesley Longman.
.
P/S MOHON MAAF JIKA ADA SEBARANG KESALAHAN DAN KESILAPAN. MOHON TEGURAN SECARA BERKHEMAH :).
TERIMA KASIH.
BUDAK BARU BELAJAR.